Archive | July, 2010

Tanah Ibu Tempat Aku..

31 Jul

Maran, Bandar Ayam Kampung

Atas ialah posting gambar di laman facebook kawan lama; yang sudah usik jiwa saya pagi ini, kenapa? sebab saya “Orang Maran”.

Saya nak kongsi komen spontan cetusan rasa:-

“Bandar Ayam Kampung” memang lebih sedap bunyinya jika dibanding dengan “Kampung Ayam Bandar”

Datuk MB wajibkan setiap Daerah di Pahang ambil “ikon” jadi lambang pengenalan; kalau di negara luar, pengambilan ikon begini bermaksud masuknya peruntukan pembangunan yang banyak untuk bangunkan industri berkaitan ~ namun di Pahang tanah bertuah ku ini, ia hanya untuk habiskan peruntukan untuk kontraktor kecil buat “ikon batu” dan menjamu orang ramai sambil dengar ucaptama ke”makmuran” negeri.

Apa-apa pun, ayam kampung sedap dan kurang lemak, tiada apa nak dimalukan; malu juga sedikit kalau yang dipilih tu Ayam Bandar Chow Kit 🙂

Apa-apa pun pemilihan logo “Ayam Sabung” tu memang bijak dan tepat ~ saya masih ingat masa kanak-kanak dulu memang cukup banyak gelanggang sabung ayam di daerah Maran ini, orang dari Bera pun datang berziarah bawa ayam mereka (tapi ini jika orang ungkit saya cukup marah, sebab gelanggang sabung ayam ini merata-rata di negeri Pahang, di semua daerah pun ada).

Oh ya, lagi satu yang saya marah, jika orang ungkit yang orang Maran ini “menang sabung kampung tergadai”..

*Mana saya tak marah, orang menyebut benda betul, benda yang saya tak dapat guna hujah untuk sangkal, terpaksa guna marah untuk bedal!

*notakaki: orang Maran jangan pula tak perasan, selain “Pasaraya Besar” semua “Infrastruktur Besar” sudah terlepas ke daerah lain, belum kira banyaknya “Tanah Besar” yang sudah berpindah milik, Hutan Liburan Teladas kebanggaan (dulunya tempat saya ponteng sekolah ponteng puasa) dulu pun dah dilacur dek pelan pembangunan “separuh masak/ half baked” juga dilunyai dek aktiviti pembalakan di huluan..

Pahang Tanah Makmur, doa saya, agar terus makmur (dan rakyatnya satu hari nanti akan bangkit dari ulitan mimpi..

Jangan Jahil

30 Jul

Saya cukup benci dan meluat pada sekalian Penyajak yang berpuisi mengulang-ngulang seruan aman dan sejahtera di bumi Palestin; juga pada gerombolan Penulis yang rancak mendansakan pena meninta mengulang khabar yang serupa.

Mustahil mereka ini tak nampak bahawa hanya ada dua jalan yang bawa kepada “aman dan sejahtera” di bumi Palestin:-
1) Rakyat Palestin dan umat Islam seluruhnya merelakan Haikal berdiri gantikan Masjid Al-Aqsa dan biarkan Zionis Israel memiliki Al-Quds secara mutlak;
2) Zionis Israel melupakan hasrat mereka untuk meruntuhkan Al-Aqsa, mendirikan Haikal dan juga memiliki Al-Quds secara mutlak; serahkan ia kembali.

Hanya orang yang benar-benar jahil, sangat dangkal mindanya dan suka berkhayal ada fikiran berharap dan percaya dua hal seperti di atas akan berlaku sekarang dan sehingga hari kiamat.

Mustahil jika ada orang Islam yang masih kabur tak nampak satu-satunya jalan yang akan bawa kita kepada matlamat pembebasan Al-Aqsa dan Al-Quds; jalan yang pernah digunakan Sultan Salahuddin Al-Ayubi untuk bebaskan Al-Aqsa dan Al-Quds.

Penyair dan Penulis muslim yang mengaku diri sembah Allah, sayangkan Nabi s.a.w dan mahu bebaskan Al-Aqsa dan Al-Quds wajib ambil tanggungjawab sebarkan seruan, menyeru Jiwa yang mereka sentuh agar bangkit, mengulang-ngulang jangan jemu!

Air Mengalir..

29 Jul

“Puisi itu bersifat air mengalir, yang paling keras pun akan tetap melembutkan hati; cuma sentiasa waspada, jangan hanyut oleh bait yang buat jiwa jadi lalai, dilemaskan oleh rangkap yang bawa kalbu jauh dari Allah.

Ambil ia sebagai sediaan cucian dan bilasan, hati yang mahu hidayah rindu pada Allah.”

Ialah fikiran yang tiba-tiba datang pada saya sejurus dibangkitkan oleh Allah dari pembaringan satu kematian sementara untuk hari semalam.

Fitrah air ini, jika ia mengalir dari sumber yang diyakini walau beri payau pada lidah akan tetap diminum; puisi ini pun sama juga sifatnya, waspadalah jika ia keluar dari mulut yang bohong, punya tubuh yang gelumang dengan maksiat.

Begini juga bila saya pilih lagu-lagu yang mahu diberi dengar pada diri sendiri dan anak-anak; lirik lagu mestilah yang tidak melalaikan jiwa, penyanyinya mestilah yang tidak terlibat dalam promosi buka aurat, tidak juga nanti dia boleh jadi “idola” anak-anak untuk bergaul bebas.

Sentiasalah waspada dengan Syaitan, sudah lama sampai khabar pada kita bahawa hamba Allah yang ini akan cuba gelincirkan kita dalam hal dan perkara yang kecil bila dia sudah berputus-asa untuk tarik kita dalam urusan yang besar.

Ramai lega bila diri bukan kufur, tapi ramai yang tak sedar diri sudah lama ikut golongan yang Allah benci, berserta dengan mereka yang sesat.

Semoga Allah terima pengorbanan yang paling lemah ini, sebagai ibadat yang layak diberi ganjaran.

Ameen Ya Rabb.

Hargai Nikmat Allah Sebelum Lewat

28 Jul

..adalah kata-kata yang mudahnya terucap dibibir namun berapa ramai yang faham dan buat?

Semalam waktu bertandang ke rumah nenek saudara di Shah Alam, sampailah berita menyedihkan ke telinga saya perihal keruntuhan rumahtangga anak sulung dia, lebih merana lagi satu-satunya cucu kesayangan secara tiba-tiba dibawa lari oleh menantu jauh ke luar negara.. dia tersendu menanggung rindu, hanya Allah dan orang yang dah bercucu yang tahu dalamnya rasa cinta seorang nenek dan datuk.

Saya sendiri juga tersendu, di sepertiga malam yang bening bawa diri ini jauh menginsafi, betapa nikmat sekeliling yang kita ambil mudah, mudahnya juga Allah tarik balik dengan sekelip mata.. air mata tak henti mengalir bila saya cuba letak diri ditempat saudara saya itu, cuba rasakan bagaimana anak kesayangan dibawa pergi dan dimana diri setiap hari menanggung siksa rindu menanti..

Hakikat yang saya temui ialah hanya Allah dan diri mengalami yang mengerti kepedihan kehilangan seperti ini, ia sangat berbeza dengan kehilangan disebabkan kematian yang lazim semua orang pernah alami.

Saudara saya ini adalah antara orang pertama yang melawat semasa dan setelah saya sedar dari koma hampir setahun lepas; atas sebab kelemahan diri sendiri saya tak pernah hubungi dia selepas itu, entah mengapa dengan saudara seorang ini seperti ada jarak menghalang usaha rapatkan diri ~ ini langsung bukan fitrah diri ini, saya jenis yang “proactive” dan selalu jadi orang yang pertama ambil inisiatif dalam hal merapati saudara dan sahabat.. masih misteri ini

Hari ini saya buat keputusan tak mahu tunggu misteri dirungkai, hidup ini terlalu singkat dan sentiasa ada kepastian yang ia akan berakhir tiba-tiba, seperti yang pernah saya alami dulu.

Saudara yang terjalin dengan darah adalah nikmat Allah, saya tak mahu sia-siakan lebih lama lagi, saya mesti hargai sebelum terlambat.

Ya Allah, berikan kekuatan dan rasa tenteram pada diri ini, Ameen Ya Rabb.

Ya Allah, Ambil Sahaja Nyawaku..

27 Jul

..Sebagai Ganti!

Kata-kata yang membingungkan dan agak susah nak difahami oleh orang yang belum alami, belum mengerti.

Syukurlah jika Allah beri..

Kerana kita cukup susah nak insafi kematian sendiri yang belum berlaku; tapi Allah itu Maha Mengasihani sifatNya, dia beri kita “hikmah dan nikmat” kematian orang yang kita paling cintai; kematian mereka kesannya sama seperti kita kehilangan nyawa sendiri.

Buat kita sedar, lahir sahaja ke dunia rasminya kita sudah terima jemputan kematian, bangun pagi sahaja kita ini rasminya sudah jadi tetamu senja.

Soal “bila” bukan urusan kita; yang mesti sentiasa dijaga ialah soal “bagaimana”, itu kita ada upaya untuk tentukan ~ Husnul Khatimah itu impian saya, anda pula bagaimana?

*oh ya, semalam Prof. Dr. Fauzi Deraman datang ke Masjid Al-Mujahideen, Prof. beritahu, malaikat maut pernah beritahu Nabi Allah Yaakub a.s, yang pada kebanyakan orang, akan dihantar 3 perutusan sebelum dia datang sendiri jemput kita; saya dah ada 2, harap tuan-tuan boleh cari perutusan itu sendiri.

Solat Itu Lebih Baik..

26 Jul

..daripada tidur?

Tertarik dengan “Gerakan Subuh” yang akan dilancarkan di Masjid Wilayah Persekutuan (Jalan Duta, K.Lumpur) pada hari Ahad, 1 Ogos jam 5 pagi.

Kempen ini patut dimulakan dulu lagi, namun bagi saya terlewat itu jauh lebih baik dari langsung tiada usaha memulakan (better late than never).

Ya Allah Ya Rabb, berikan saya kekuatan dan kesempatan untuk hadir, lebih penting lagi ialah untuk teruskan secara istiqomah bersolat Subuh secara berjemaah, Ameen ya Rabb.

Beli dan Belah (untuk Alex)

25 Jul

Syukur Alhamdulillah, pekerjaan yang “seronok” sudah berakhir semalam.

Sekurang-kurangnya sehingga baby dilahirkan nanti kami dah boleh rehat dari “keseronokan” membeli-belah barang keperluan menyambut peserta baru keluarga.

Sebut pasal peserta baru tak boleh tidak kena sebut pasal ahli lama; sejak saya dan isteri tubuhkan “private club” ni, hanya 3 tahun ia berstatus “eksklusif” sebelum “private & exclusive club” kami disertai oleh seorang yang berstatus puteri (oh ya, kelab kami tak terima orang kebanyakan:), dia kami raikan dengan penuh rasa syukur dan bangga dan setahun selepas itu adik puteri ni pun nak sertai juga; walaupun terperanjat dengan pertambahan mendadak ahli setelah beberapa tahun sebelum ini tiada yang sudi sertai, adik puteri ini (dia pun berstatus puteri juga) kami sambut dengan rasa penuh kesyukuran, saya tak ingat ada bentang permaidani merah atau tidak, yang saya ingat mereka berdua tu datang dalam keadaan masih merah 🙂

Sekarang mereka dah jadi ahli tetap, yuran (lampin dan susu) pun sudah agak lama tak perlu dibayar.

Awal-awalnya kami cuba nak rahsiakan kehadiran peserta baru, nak uji secepat mana mereka boleh kesan sendiri; ternyata kami pandang rendah pada mereka ini, keupayaan keduanya mengesan isi perbualan kami sangat mengagumkan (sebab itu kena berhati-hati ber”bahasa kod” suami isteri, kita tak sedar peningkatan tahap kemahiran komunikasi anak); sejak itu kedua-dua mereka sangat teruja nak sambut peserta baru ni, seboleh mungkin kami akan libatkan mereka dalam program sambutan (welcoming committee lah kiranya mereka itu:) i.e. pemeriksaan & imbasan janin, beli-belah barang bayi dll.

Sama ada mereka ni patut terlibat dalam program orientasi itu akan dipertimbangkan kemudian; saya sendiri terhibur bila dengar mereka buat perancangan sendiri (they must be nuts thinking that I will ever allow them to give our baby a bath!). Mereka tak sedar yang saya ada perancangan lebih besar buat mereka.

🙂 apa perancangan tu?

Ahhh.. mereka ni saya dah mula suruh uruskan diri sendiri, bantu buat kerja rumah dan berdikari; ini proses berterusan dan lama, saya doakan usaha ini berjaya.

Apa cerita peserta baru? ini nanti bila dia dah langkah masuk baru Abu Alex cerita.

???

25 Jul

Mangsa terbaru ialah budak kecil 8 dan 7 tahun, ini bukan korban “tidak sengaja” akibat bom, ini “close & personal”!. Anda boleh baca sendiri di http://palestinkini.info :-

Suara Peduli Palestin

Polis Rejim Zionis memukul kanak-kanak di Baitulmaqdis

Sabtu, 24/07/2010 – Seorang polis Israel menyerang dan memukul seorang kanak-kanak di Baitulmuqaddis, Sam Alseyuri, 8 tahun berdekatan sebuah pasar yang terletak berhampiran salah satu gerbang Masjid Al Aqsa.

Menurut sumber-sumber tempatan, serangan terhadap kanak-kanak itu berlaku selepas dia mengerjakan solat Asar bersama ibu dan dua orang saudaranya, Hossam, 7 tahun, dan adiknya, Rodat dua tahun, di mana mereka mengunjungi sebuah kedai bernama “gifts of children” milik datuknya, Haji Mohammad Arif Seyuri, yang memberikannya pistol mainan untuk bermain.Namun,dia dan saudaranya terkejut apabila seorang polis Israel menyerang mereka dengan mengambil pistol mainan itu dari tangannya dengan secara paksaan kemudian memusnahkan pistol mainan tersebut. Polis itu kemudiannya membawa Sam ketepi dan mula memukulnya di hadapan saudaranya.

Sam kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, dan dia masih trauma dan tidak mengerti mengapa polis Israel melakukan begitu.

sumber : The Palestine Telegraph
penterjemah : nurul

Jalan ke Syurga Tak Mesti Beranjau

24 Jul

..boleh sahaja jalan ini kita hias dan cantikkan, bagaimana?

Kerap saya bicarakan sewaktu ber’facebook, setiap kali topik adat dan syariat agama jadi perbahasan.

Adat tak sama dengan syariat, adat buat kehidupan jadi cantik dan indah manakala syariat mengatur supaya kehidupan pengamalnya berguna dan berjaya (umpama pakaian; syariat ialah kain, benang dan butangnya manakala adat pula ialah warna, corak dan ropolnya); tiada salah adat dijunjung selagi ia tidak melanggar syariat ~ khidmat nasihat tukang kain boleh sahaja dipakai selagi dia tak kurangkan kain, benang dan butang, yang boleh sahaja buat kita berpakaian tapi telanjang.

Bulan Ramadhan akan menjengah, seperti biasa kita akan menyambutnya dengan adat dan syariat; ada adat lama dan ada pula adat moden yang baru direka. Lama atau baru tiada beza, tujuan adat direka bagi tujuan mencantikkan kehidupan.

Ingat-ingatlah dalam perbuatan, timbang-timbanglah mana lebih utama; mana jalan bawa kita ke syurga.

Pencinta Yang Mahu dan Tahu

23 Jul

..entah kenapa saya jadi romantik sesampai ke rumah dari tempat kerja hari ini, mungkin kerana ketenangan malam jam pun dah pukul 12.30 pagi.

Apakah yang boleh buat seseorang buat perkara yang dia tak gemari, tanpa paksaan tanpa ganjaran?

Jika nak buat suatu yang tak digemari, pertama hati mesti cinta; hanya seorang pencinta yang sedang dalam percintaan sahaja yang sanggup penuhi permintaan kekasihnya, walaupun atas suatu yang dia tak gemar.

Kita lihat banyak perkara dalam syariat yang (nafsu) kita tak suka walaupun akal kita akui perkara itu benar; hal yang sama berlaku dalam diri para penentang dakwah Nabi s.a.w, mereka tentang bukan atas alasan mereka fikir Nabi s.a.w bawa perkara yang tak baik.

Tiada beza asasnya jika kita mahu syariat dan syiar Islam tegak di bumi bertuah ini.

Terkecuali orang yang tidak mahu.

Oleh itu pilihlah pemimpin yang cinta pada Allah dan RasulNya; yang kita lihat dia itu kuat amal ibadatnya, ada keazaman mahu tegakkan Syariat.

Saya sangat hairan bila ada seorang yang sudah lali ucap kalimah syahadah pada lidah, letakkan kriteria lain bila sampai dalam hal memilih pemimpin.

Siapa kekasih anda?