mata hari dari mata hati

22 Jan

selangkah aku
dari tempat sujud
aku hela nafas lega
memandang arah timur
dia masih ada,

lembut menyapa
waktu pagi-pagi
meninggi diri pula
tengah hari nanti
tersungkur hiba
kala senja hari

dalil tabi’e manusia
tanda taubat masih ada.

Telaga Yang Dalam

16 Dec

Quran itu umpama
telaga yang amat dalam.

airnya yang sejuk bersih
gemersik jelas ditelinga

namun begitu

ramai juga yang lesu
kehausan di tepi telaga

tanpa bekas, tiada
tali panjang nak menimba

tak sudi juga nak minta bantu
dari tukang timba yang tahu

😥

bekas dan tali itu ialah ILMU.

seperti diri ini

ramai yang terlepas
ramai yang tak punya

bila zaman muda
waktu lapang
diguna untuk foya-foya

sedang kita tahu
Quran bukan buku biasa
boleh dibaca secara bersahaja
tanpa tafsir panduan
yang kukuh di dada

salah ungkap puisi
tidak mengapa
salah singkap Quran
badan dan ruh binasa!

Carilah ilmu, belajar dari yang berilmu.

sementara itu, bacalah juga Quran seperti gemersik air; usahlah terjun memudaratkan diri.

Usah jadi,

orang yang langsung tak mahu dekat; anggap ia perigi buta

atau

orang yang datang melawat tapi hanya dapat lihat kegelapan di dalam telaga; dia tak pasang telinga.

atau

orang yang dapat dengar bunyi gemersik air; sayang dia tak cari timba dan tali, tukang timba pun dia benci; haus juga.

beruntung

ialah orang yang dapat minum air dari telaga ini; guna satu dari dua cara dia berjaya hilangkan dahaga.

di mana kita?

Alhamdulillah..

16 Dec

.. saya buat keputusan yang betul untuk ber”cuti” dari menulis apa-apa yang ada dalam kotak fikiran sendiri; menulis ini mencuri banyak masa yang sepatutnya boleh diguna untuk mendengar, membaca dan berfikir.

Banyak menulis seperti yang saya buat sebelum ini agak kurang bagus diamalkan oleh orang yang sepatutnya beri tumpuan pada ‘penimbaan ilmu’.

Apa maksudnya? sila baca posting selepas posting ini.

Saya akan terus menulis, cuma dihadkan pada kadar yang paling minima.

InsyaAllah.

Pesan pada Tanggang

3 Dec

Bapak Borneo kata,

Berdasarkan pengamatan saya, ada 4 titik yg merupakan momentum penting dalam hidup seseorang:

1) siapa ibubapa anda
2) apa pendidikan anda
3) apa kerjaya anda
4) siapa jodoh anda.

Jelas dia,

Inilah 4 titik penting dlm hidup seseorang, barangkali 1 – 3 tak payah saya ulas, tapi perkara 4 ini, saya mahu anda dengar pengalaman sahabat saya ;

Beliau mempunyai beberapa orang anak, tapi yg nak dikisah ini, seorang anaknya, pendek cerita, sudah jadi doktor, selalu balik rumah tengok makbapak, kemudian berkahwin, mulai jarang balik tengok ibubapa, kalau datangpun, sebelah petang, malamnya tak mahu tidur di rumah, balik juga ke rumahnya di kl. Setahun lebih kahwin, boleh dikatakan sudah jarang sekali balik rumah tengok ibubapa, sebaliknya, dia dengar, selalu balik rumah orang tua isterinya. Menangis dia cakap dgn saya, dan sayapun tanpa sedar meleleh air mata saya.

Pesan Bapak Borneo,

Apa yg saya nak sampaikan berkenaan isu di atas; hati-hatilah mencari jodoh, sebab jodoh anda merupakan momentum amat dominan mewarnakan hidup anda kelak.

Nasihat yang sangat membekas di hati, beri saya ilham untuk karang pesanan buat diri sendiri:

tanggang-tanggang di luar sana

awas yah!

umur anak-anak mu deras berlalu seperti air jeram di hulu

umur mu pula akan berlalu mampir perlahan layak air di hilir

apa-apa noda yang kamu bungkas di hulu, pangkal jalanan mu

akan mengeruhkan air di hilir, hujung kembara yang pasti hanyir

tanggang-tanggang di luar sana

awas yah!

Hari Baru

30 Nov

Fikir-fikir, bersoal-jawab sebelum lelapkan mata malam ini (mungkin ini malam akhir saya boleh bersoal-jawab dengan diri sendiri; dan pastinya bukan mungkin lagi, mungkar dan nakir sudah bertemu-janji menunggu di sana).

Beberapa minit lagi detik 12 tengah malam.

Rugilah sesiapa yang anggap hari baru mereka bermula beberapa minit lagi, ia bermula dalam keadaan “tidur”.

Labur di Dunia Tuai di Akhirat

30 Nov

Katanya Dana Pelaburan yang “syarie compliance” itu halal, benarkah?

1) Mengapa “pelabur” yang mengeluarkan “pelaburan” sebelum cukup tempoh tidak layak dapat pulangan keuntungan? wang pelaburan mereka tidak diguna-kah?

Soal-jawab, mengapa keuntungan tidak boleh diberi secara pro-rata; apa yang menghalang?

2) Mengapa “pelabur” yang mengeluarkan “pelaburan” tidak dapat sepenuhnya kebali bahagian wang keuntungan yang mereka sumbangkan untuk modal (capital); mereka bukan lagi pelabur (ahli), mengapa wang mereka masih ada dalam dana tersebut? Wang yang tersebut (yang “tertinggal” dan digunakan dengan bebasnya) bukan hak Badan Pelaburan dan Pelabur (ahli)

Soal-jawab, setiap tahun sebahagian besar keuntungan tidak diagihkan sepenuhnya pada pelabur; sebahagian besar keuntungan akan dipulangkan semula ke dalam dana sebagai modal (guna untuk meraih lebih banyak keuntungan pada tahun hadapan).

Pelabur yang menarik diri (mengeluarkan simpanan pelaburan) berhak ke atas sebahagian wang ini (jika sudah sepuluh tahun, berapa jumlahnya) kerana mereka tidak lagi akan nikmati keuntungan pada tahun hadapan.

Soal-jawab, beberapa bulan lagi kebanyakan kita akan tersenyum lebar terima wang keuntungan; tak terfikirkah halal-haram wang yang diterima? sebahagian wang itu ialah wang orang (2 golongan yang dinafikan hak mereka).

Pewaris Nabi

26 Nov

Khabarnya Ustaz-Ustaz dan Ulama-Ulama dalam UMNO bukan tak buat kerja; mereka ada menegur, cuma dengan cara berhemah dan diam-diam.

Bagus ini, suka saya dengar jika ia benar.

Lebih bagus lagi jika mereka ikut tauladan dan jalan yang ditunjuk oleh Ulama tersohor nusantara, Almarhum Buya Hamka (Prof. Dr. Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah).

Almarhum Buya Hamka dipandang tinggi oleh Ulama-Ulama di negara ini.

Almarhum Buya Hamka meletak jawatan sebagai Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia apabila nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.

Dia juga sanggup masuk penjara kerana tak mahu bertolak-ansur dengan pemerintah yang mahu mempergunakan dia dalam konfrontasi dengan Malaysia.

Ini kualiti Ulama tersohor.

Tanya saya, Ulama dan Ustaz dalam UMNO tunggu apa?

Tunggu habuan-kah?

Cuti Cuti Malaysia

26 Nov

Saya benar-benar bingung, betul-betul tidak faham mengapa masih ada lagi orang Islam di negara ini yang mempertahankan hari Ahad sebagai hari cuti umum;

Apakah mereka tidak tahu signifikan hari Jumaat pada golongan yang mentauhidkan Allah? atau memang mereka sembah yang lain, beranggapan hari Jumaat tiada beza dengan hari lain, muliakan hari Ahad?

Sudah 53 tahun orang Islam perintah negara ini, sedihnya kebanyakan orang Islam masih lagi dipaksa bercuti pada hari orang-orang Kristian pergi gereja; setiap kali di sini-sana kita akan dengar kisah penindasan pekerja yang dihalang ke masjid.

Allah, moyang mereka dahulunya dijajah oleh orang Kristian, mereka tiada pilihan.

Mengapa? kenapa kerajaan pimpinan UMNO sanggup layan kami orang-orang Islam begini? kenapa tindas kami?

Bila dibangkitkan, orang yang membangkit dituduh “mundur dan kolot”, fikir saya, cuti hari Ahad itulah yang “mundur dan kolot”.

Orang yang anggap ini perkara kecil memang orang yang jahil dan bodoh, sila cari sembahan lain jika jumpa; Islam bukan tempat diam orang yang malas berfikir dan tak tahu guna otak; buka Quran dan akan anda dapati betapa banyaknya ayat-ayat yang menyuruh kita berfikir dan guna otak.

Tak tahu, belajar; usahlah berbuat tanpa landasan ilmu dan hanya mengikut nafsu.

Soal cuti pada hari Jumaat ini persoalan besar, salah satu dari urusan tarbiyyah pada rakyat, nak tegakkan syiar Islam, nak besar-besarkan Allah.

Ini bukan hal remeh-temeh; jika yang begini kita tak pandang, jangan harap hati mahu lembut dengan hukum dan perintah Allah.

Celaru Zaman Baru

23 Nov

zaman baru, segala celaru

yang betul, tak lagi dipandang baik
yang baik, tak lagi dipandang betul

yang baik dan betul, dimusuhi orang

yang fikir sendiri lebih baik dan betul

lebih baik dan betul dari Allah dan Rasulallah

orang begini tambah ramai melata-lata

membiak-biak cepat macam ulat atas bangkai

tak sedar..

yang dia itu ulat

yang sedap tempat duduk dia

itu hanya bangkai!

Saudara ku yang dikasihi, sebanyak tiga kali sehari Nabi SAW mohon perlindungan dengan Allah dari syirik yang nyata dan yang Baginda tidak sedari.

Hal ini sangat mustahak sehingga membimbangkan Nabi SAW atas diri Baginda sendiri, pembawa Risalah Tauhid.

Patutkah kita bimbang?

Ramai kita tahu apa itu Syirik yang nyata dan berjaya jauhi; apa pula Syirik yang diri tak sedari?

Apakah jadi Syirik bila kita pandang Kanun Lord Reid itu lebih baik dan sesuai dari Kanun Allah dan Rasullah?

Apakah jadi Syirik bila kita berserta dengan orang-orang yang anggap amalan beragama terhenti di pintu pagar keluar masjid; anggap “doa” itu “prayer” dan ia amalan lengkap agama.

Ini sangat mustahak Saudara ku, kerana ampunan Allah yang sangat luas itu tidak meliputi orang yang Syirik.

Allah, Allah, Naudzubillah.

Megah Manusia

22 Nov

“megah” adalah
sifat-Nya,

Allah yang Maha Kuasa.

bila ada
pada manusia

itu tanda-tanda,
kuasa bawa bencana
harta beri sengsara
ilmu manfaat tiada

Buanglah “megah” dari dalam dada ini, nyahkan dari bersarang menetaskan ulat-ulat yang memakan daging dan sendi, insafi sendiri tidak memiliki, segala dan apa-apa yang dipunyai akan hancur dimamah bumi.

Sengsara, bila ramai antara kita tanpa sedar sembah diri sendiri seperti berhala bila kita gemar pada kata pujian dan mudah tersinggung dengan kritikan.

Kita tak berkuasa, ingat itu.

Wallahu’alam.