Archive | August, 2010

Kosong

31 Aug

Terima kasih pada Wan Juhaida yang beri saya ilham untuk nukilkan rangkai kata ini; saya hadiahkan buat semua perempuan yang berasa diri kosong dan sendirian; sudah berasa Allah tinggalkan, lupakan..

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, Ayat 286 yang bermaksud “Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”, kata saya..

Kosong itu juga Isi

Penuh berisi pengertian

Kehingaran boleh jadi sepi

Padat menyesak kesunyian

Kesedihan itu ada erti

Hangat sebuah harapan

Dambaan di dalam hati

Sesak dihimpit kerinduan

Kosong , sedih dan sepi

Ada makna dalam pesan, ehsan

Jadi sepuh penguat hati, emosi

Jati diri mu seorang perempuan

Bukti diri mu sudah tahan uji

Hamba Allah yang punya iman

Kisah Serambi dan Al-Quds

31 Aug

Ada dua peristiwa signifikan yang wajar saya ulas dalam blog ini:

1) Saman Kerajaan Negeri Kelantan

Tindakan memfailkan saman terhadap Petronas adalah atas dasar menjaga kehormatan harta rakyat negeri Kelantan yang telah dirampas oleh Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata saya,

Tahniah Tuan Guru, tunjukkan pada monyet-monyet di hutan cara orang bertamadun berurusan.

Saman Petronas demi maruah rakyat!

Selepas usaha yang gigih, serahkan selebihnya pada Allah.

Adapun gelaran “monyet” itu hanya perumpamaan gaya, bukan bertujuan mahu menghina jauh sekali mahu mencerca.

Adapun monyet itu tiadalah mereka itu tahu berunding cara manusia; mereka hanya tahu mencuri dan ikut-ikutan suruhan ketua tanpa ada upaya guna akal fikiran sendiri.

Bukankah ia benar menggambarkan UMNO dan Petronas dalam hal ini?

2) Berakhirnya sambutan Hari Al-Quds esok di Masjid Negeri Shah Alam; saya copy & paste artikel ini untuk perkongsian.

Sebelum itu elok saya ingatkan, yang berakhir ialah sambutan memperingati; penindasan Zionis masih berterusan malah semakin hebat.

Wajib kita teruskan jihad harta yang kita infakkan untuk tujuan membantu pembebasan Al-Quds; yang sedikit itulah yang akan jadi modal kita bia dihitung oleh Allah nanti.

Wajib kita teruskan boikot barangan keluaran syarikat yang terang-terang menyumbang kepada Zionis Israel; berhentilah membantu “sembelihan” saudara kita di sana.

10 pembohongan besar media berkenaan Israel.
By Mtd Kota Lama

Seorang jurnalis dan pengarang yang berasal dari Belgium, Michel Collon, mengecam media Eropah kerana sikap mereka yang telah berabad-abad berbohong kepada masyarakat awam semata-mata untuk memberi sokongan kepada negara haram Israel. Melalui buku beliau yang bertajuk Israel, let’s talk about it, Collon telah menyenaraikan “10 pembohongan besar” yang telah disebarkan oleh media Barat bagi “menjustifikasi kewujudan dan tindakan-tindakan kejam rejim Zionis Israel”.

Berikut adalah pembohongan-pembohongan yang dimaksudkan:

1. Pembohongan pertama adalah bahawa negara haram Israel tertubuh sebagai reaksi kepada pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi ketika peperangan dunia kedua. Dakwaan ini sangat tidak betul, kerana penubuhan Israel pada hakikatnya adalah sebuah perancangan tirani yang kejam dan otokratik, yang telah dipersetujui oleh Kongres Zionis yang pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897. Dari sinilah puak-puak nasionalis Yahudi memutuskan untuk menakluk dan menzalimi Palestin.

2. Justifikasi kedua bagi mereka mendirikan negara haram Israel adalah bahawa kaum Yahudi kembali ke bumi nenek moyang mereka, dari mana mereka telah dihalau pada tahun 70 A.D. Ini hanyalah satu cerita dongeng! Collon telah berbincang dengan beberapa orang tokoh sejarah Israel, termasuklah Shlomo Sand, dan mereka semua percaya bahawa tidak pernah berlaku pemindahan beramai-ramai kaum Yahudi. Jadi “kembali ke bumi asal” adalah suatu yang tidak benar. Mereka yang menetap di Palestin pada zaman lampau tidak pernah meninggalkan bumi itu.

Malahan keturunan Yahudi yang berasal dari Palestin adalah mereka yang sekarang ini tinggal di Palestin. Mereka yang mendakwa untuk kembali ke bumi Palestin adalah sebenarnya berasal daripada Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.

Shlomo Sand menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebuah negara Yahudi. Malahan, puak-puak Yahudi tidak pernah mempunyai persamaan dalam sejarah, bahasa mahupun budaya. Satu-satunya perkara yang mempunyai persamaan antara mereka adalah agama, dan agama tidak membentuk sebuah negara.

3. Pembohongan ketiga adalah bahawa ketika pendatang-pendatang Yahudi memasuki dan menduduki Palestin, bumi tersebut merupakan sebuah negara yang “kosong’ dan tidak diduduki. Sesungguhnya terdapat dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang mengesahkan terdapat transaksi mengekspot barangan pertanian daripada Palestin ke negara-negara luar, termasuk Perancis, dalam abad ke sembilan belas.

4. Keempat, ada pihak yang mendakwa bahawa rakyat Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela. Ini adalah satu lagi pembohongan besar yang dipercayai ramai, termasuklah Collon sendiri, sehinggalah tokoh-tokoh sejarah Israel seperti Benny Morris dan Ilan Pappe menyatakan bahawa warga Palestin telah dihalau dan dihapuskan dari tanahair mereka melalui kekerasan, jenayah dan kekejaman.

5. Dikatakan bahawa negara Zionis Israel yang wujud hari ini adalah satu-satunya negara yang mengamalkan demokrasi di Timur Tengah, jadi negara itu harus dilindungi kerana ianya adalah sebuah negara yang menegakkan undang-undang.

Tetapi menurut Collon, bukan sahaja Israel sebuah negara yang tidak menegakkan undang-undang, malahan Israel juga adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai undang-undang yang dapat menjelaskan di mana wilayah dan sempadan negaranya. Semua negara di dunia ini mempunyai undang-undang atau konstitusi yang memberi denifisi jelas berkenaan wilayah dan sempadan negara mereka, tetapi perkara ini tidak pernah wujud bagi negara Israel. Israel hanyalah sebuah projek penaklukan yang berkembang tanpa mengenal sempadan, dan undang-undang yang ada bagi negara tersebut benar-benar berbentuk perkauman. Menurut undang-undang mereka, Israel adalah sebuah negara untuk Yahudi dan penduduk Israel yang bukan daripada keturunan Yahudi tidak diiktiraf sebagai manusia. Adakah undang-undang seperti ini membentuk sebuah demokrasi?

6. Amerika dikatakan cuba menegakkan demokrasi di Timur Tengah dengan membantu dan mempertahankan negara Israel. Kita semua maklum bahawa bantuan kewangan tahunan Amerika kepada Israel mencecah sehingga USD 3 bilion. Dana ini sebenarnya digunakan untuk menghancurkan negara-negara yang berjiran dengan Israel.

Amerika tidak pernah menegakkan demokrasi di Timur Tengah, mereka mungkin hanya membantu mengukuhkan pemerintah yang sedia ada dan penguasaan kekayaan minyak di wilayah tersebut.

7. Mereka mendakwa Amerika membantu usaha mencapai persetujuan dalam perjanjian antara Israel dan Palestin. Ini juga suatu yang tidak benar dan pembohongan. Mantan Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Javier Solana pernah menyebut bahawa Israel adalah negara yang ke-21 dalam Kesatuan Eropah. Industri pertahanan Eropah bekerjasama dengan industri pertahanan Israel dan malahan membantu mereka dari segi kewangan. Tetapi apabila rakyat Palestin memilih pemerintah kerajaan mereka, negara-negara Eropah tidak mahu mengiktirafnya dan membenarkan Israel menyerang dahsyat bumi Gaza.

8. Apabila seseorang bercakap tentang perkara-perkara seperti ini dan juga sejarah pergolakan Israel dan Palestin, apabila seseorang mendedahkan kepentingan Amerika terhadap isu ini, dia akan didakwa sebagai anti-semit untuk memberi tekanan supaya beliau menutup mulut. Tetapi kita harus menyebut bahawa bilamana kita mengkritik Israel, itu bukanlah suatu bentuk perkauman atau anti-semitism. Kita mengkritik sebuah kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan antara pemganut-penganut Yahudi, Kristian dan Islam, dan seterusnya menghapuskan keharmonian di kalangan penganut-penganut agama yang berbeza.

9. Media massa juga mendakwa bahawa rakyat Palestin melakukan jenayah dan keganasan. Kita percaya bahawa penaklukan secara kejam yang dilakukan oleh tentera Israel adalah sebenarnya satu jenayah dan keganasan, begitu juga dengan polisi mereka merampas tanah dan rumah-rumah milik rakyat Palestin adalah satu keganasan yang nyata. Rakyat Palestin hanyalah mempertahankan hak dan bumi milik mereka daripada jenayah dan keganasan Israel.

10. Ramai yang mengatakan bahawa tidak ada langsung harapan untuk menyelesaikan konflik ini, dan tidak akan ada penyelesaikan terhadap kebencian yang terbentuk akibat aksi-aksi ganas Israel dan sekutunya.

Percayalah di sana ada satu penyelesaian. Salah satu perkara yang dapat menghentikan konflik ini adalah dengan memberi tekanan terhadap Israel, Amerika, Eropah dan sekutu-sekutu mereka yang lain. Media massa perlu diberi tekanan supaya memberitakan apa yang benar dan menghentikan pembohongan. Gunakan internet dan apa sahaja media yang ada bagi menyebarkan perkara yang sebenarnya berkenaan Palestin dan apa yang berlaku di sana.

ALLAHU AKBAR! ! !

Kekasih atau Hamba

30 Aug

Air mata seorang kekasih sangat murah harga beri, seperti embun yang tidak pernah sudi menunggu sinar pagi, tidak dapat menghilangkan dahaga bumi, suci hanya khabar tanpa bukti..

Benar, nyata dan punya erti,

Namun hanya terpakai di wajah bumi,

Tidak jadi bekal di hadapan Ilahi

😥

Air mata seorang Hamba

Mengelungsur terpelecuk dosa

Terjerembab dalam munajat

Terkulai dalam taubat

Umpama hujan lebat waktu pagi hari

Nikmat sekata mencukupi

Tiada menghalang sinar mentari

Tiada kecuali berian rezeki

Ibu dan Saat yang Berlalu..

29 Aug

Allah sahaja yang tahu betapa kecewanya saya bila tak dapat bersama adik-beradik lain menyambut Jubli Emas Ulangtahun Kelahiran ke-60 ibu saya semalam; pagi dan petang ada komitmen kerja

😦

Hari ini hati terusik baca puisi yang dinukil oleh Prof. Dr. Awang Sariyan dalam blog dia http://kembarabahasa.blogspot.com/2010/08/kenangan-kepada-ibu-pada-ramadan-syahdu.html?spref=fb ~ saya jawab:

Siapatah yang dapat menelah

Sendukah?

Syahdukah?

Bila ada silau gembira di sebalik redup mata

Bila ada pancuran terima kasih keluar dari jiwa

(masa bersama ibu sangat terhad, dikira dalam saat)

Ibu dan saat

Syahdu dan sendu, gembira dan terima kasih pada anak yang taat

Pernyataan taat paling tinggi ialah bila seorang anak sentiasa jaga sahsiah dan kelakuan dia agar ia selalu mencerminkan didikan dan maruah ibunya; dia juga tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ibunya di dunia dan di akhirat.

Dan bersaksilah, saya ini seorang anak yang taat.

🙂

“Orang-Orang” Merdeka!

29 Aug

“Orang-Orang” sudah mula beri ucap semangat “Merdeka” atau yang seumpama dengannya..

Jawab saya..

Jangan Merdeka ikut-ikutan

Kaki sudah lepas dari pasungan

Namun hati dan minda masih dalam jajahan

Tak boleh hidup tanpa subsidi berian

Seperti orang cacat perlukan ehsan

Tanpa tongkat kita tak boleh berjalan

Sangka kita ini juara bangsa pilihan

Tak sedar kita ini bahan lucuan

Jalan mengepak sedang kita diketawakan

Ada bahasa dan sasterawan kita perhinakan

Konon tak layak jadi bahasa ilmuwan

Cuma guna di pasar untuk tujuan penawaran

Ada negara sudah lama digadaikan

Berapa banyak rizab sudah tukar tangan

Syer hanya atas kertas jadi pemilikan

Bangsa melarat sedang “Hidup..” dilaungkan

Hidupnya malu mati pun segan

Begitulah, bila kita suka ikut-ikutan!

Jerit “Merdeka” tak ubah seperti monyet di hutan

Tak tahu makna, langsung tak faham pengisian

Konon rasa cinta negara ditunjuk dengan jeritan

Tak sedar dia dilayan tak ubahnya seperti haiwan ternakan!

😥

Dasar “orang-orang” di tengah bendang, senyum bangga dabik megah rasa terbilang!

Tak sedar baju dipakai lebihan orang

Tak sedar Tuan berlindung dia dijemur seorang-seorang

*itu definasi “orang-orang”, apa pula definasi haiwan ternakan?

Anda pernah jaga haiwan ternakan?

Ya / Tidak

Kenapa mereka ini kita “bela”?

Kita bela haiwan untuk dapatkan keluaran atau bahagian badan mereka

Pengundi di”bela” untuk dapatkan undi mereka

Bagaimana nak bela mereka?

Ada kita kisah jika ayam kita tak tahu mengaji, asal dia cukup makan, sihat dan tiada penyakit itu sudah memadai.

..selebihnya anda fikirlah sendiri! tak mahu jadi haiwan perkara pertama kenalah belajar berfikir.

*menyambut kemerdekaan itu wajar ada keberkesanan kepada jiwa dan akal fikiran, kalau setakat slogan dan laungan dan tari-tarian dan nyanyian; maknanya kita masih dalam suasana penjajahan…”

“slogan dan laungan dan tari-tarian dan nyanyian”

Nah! ini maksud saya, saban tahun kita disogok dengan bahan yang sama..

Mana akal kita ikut-ikutan saban tahun juga mengiakan semua ini?

Mana rasa syukur kita pada akal fikiran dan minda hebat yang Allah kurniakan?

Kita hina diri sendiri, ibubapa kita dan nenek moyang bila kita benarkan diri diperguna seperti haiwan begitu!

Sebelum Pergi, Syaitan Pesan..

28 Aug

pesan syaitan

ilmu jadikan umpan

dapatkan kemasyhuran

pesan syaitan

keluar pagi-pagi cari makan

balik malam tambah kawan

pesan syaitan

ibu ayah lupakan

tiada galas, jangan cari beban

pesan syaitan

bo-layan itu jiran

orang kecil, menyusahkan

pesan syaitan

bangsa hanya tunggangan

agama hanya topengan

pesan syaitan

sokong pemimpin bajingan

ulama jujur kita hinakan

pesan syaitan

mari sembah pembangunan

lupakan pembinaan insan

pesan syaitan

pedulikan Nabi junjungan

orang itu ketinggalan zaman

pesan syaitan

pedulikan kitab al-Quran

kita ikut peredaran zaman

pesan syaitan

tak masuk syurga apa nak hairan

neraka best apa, banyak kawan!

Reluctant Poet, Willing Painter..

28 Aug

Hati yang tenang jadi berombak bila baca puisi “tribute” dituju pada Bapak A. Samad Said; yang sudah dilupa datang semula, yang cuba dibendung mengalir semua, spontan ini datang pada saya..

Air mata belum benar kering menyaksi dia dihina

Diberi gelar mulia dilayan dengan gas pemedih mata

Diangkat darjat kebesaran dijamu dengan kata nista

Sasterawan Negara!

Bukankah sudah janji dia pertahan sastera budaya

Gelaran diambil bukan lewa, dia benteng bahasa

Perbuat apa yang layak, kata-katanya senjata ampuh bisa

Kerananya dia disepak dihina Penguasa talam dua muka!

Reluctant Poet, Willing Painter – Ever Willing Human.

Semoga Allah beri rahmatNya pada hamba tua itu.

Berbahagialah As-Syahid Syeikh Nizar Rayyan Bersama Keluarga di Syurga

26 Aug

“Sesungguhnya, telah pergi Syeikh Nizar ke alam Rabbani menuju Allah Subhanahu wa Taala bersama keluarga, isteri dan anak-anaknya. Sesungguhnya benarlah Allah, dan Allah membenarkannya. As-Syahid telah dididik dengan didikan Nubuwwah dan Dakwah, dan hidup di dalam medan Perjuangan dan Jihad. Beliau sentiasa bangun malam untuk solat dengan penuh khusyuk dan mengharap pada 10 malam terakhir Ramadhan setiap tahun, dan bersamanya pemuda para pejuang di Jalan Allah.”

Adalah petikan ucapan Perdana Menteri Palestin Ismael Haniyyeh selepas mengimami solat terawih di Masjid Khulafa Ar-Rasyidin dekat Kem Jabaliyye (di sempadan utara), pada hari Ahad (22 Ogos) yang sudah lepas.

Rayyan adalah nama tubuh putera terbaru saya dan isteri; berbetulan pula tak lama lagi kita akan memasuki sepuluh hari terakhir Ramadhan.

Semoga Allah beri putera saya kehidupan dan kematian yang mulia seperti yang dia beri pada As-Syahid Syeikh Nizar Rayyan.

Harapan saya semoga Rayyan membesar dengan menjiwai nama tubuh yang dimiliki; saya akan berusaha untuk berikan permulaan yang baik, terpulang pada dia untuk jalani penghidupan yang baik dan dapatkan pengakhiran yang baik juga.

Ameen Ya Rabb.

Al-Fatihah buat As-Syahid Syeikh Nizar Rayyan dan semua para syahid di seluruh dunia yang telah dimuliakan oleh Allah.

Upah Isteri Budiman

26 Aug

Puisi Tuan Ramlee Wahab dan syarahan Ustaz Azhar Idrus beri saya ilham ini:

Terima kasih isteri

Harga ucapan suami

Dari yang mengerti

Atas dapatan budi

Khidmat ikhlas beri

Kami sanjung tinggi

Meski tidak bergaji

Hari tidak bercuti

Sakit tidak berem.si

Pengorbanan seorang isteri

Tiada tukar ganti

Tidak mampu dibeli

Ada suami yang tanya macam mana nak nilai gaji isteri yang dah bertahun-tahun dikerah keringat mereka secara percuma.. saya garu kepala.

Saya cadangkan baca pada isteri seloka ini, jika isteri senyum kira halal-lah; kalau tidak kena jumpa Ustaz Azhar Idrus minta dia beri formula pengiraan.

🙂

Bulan dan Ramadhan

25 Aug

Indahnya bulan dimalam cerah tak berawan

Penuh mengambang molek menawan

Ramadhan sudah diketengahan

15 hari tak sedar sudah dilepaskan

Berapa banyak amal sudah kita dapatkan

Jangan lagi leka dengan keriuhan

Tinggalkan nafsi lupakan belanjaan

Ramadhan bukan bulan bermewah makan

Bukan juga bulan untuk berbelanja sakan

Lagi hanya 15 hari mari kita rebutkan

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

*Rajin-rajinlah perhatikan langit pada malam yang cerah; sambil mengharap-harapkan Lailatul Qadar dan jangan lupa berdoa agar Allah tidak cabut nyawa kita sebelum nikmat malam itu kita kecapi.

InsyaAllah.